Merdeka! Merdeka! Merdeka!
Menjelang 31 Ogos, maka genaplah 54 tahun Malaysia berdiri megah sebagai negara merdeka dan berdaulat.
Apakah erti kemerdekaan bagi bangsa sebuah negara merdeka seperti kita? Bebas daripada penjajahan fizikal dan mental oleh bangsa Eropah? Kita patut berbangga kerana kita tidak lagi dijajahi bangsa Inggeris?
Sebenarnya kita belum dibebaskan. Minda kita masih dicorak dan dikuasai oleh golongan dominan. Bukan oleh bangsa Eropah, tetapi oleh bangsa kita sendiri. Rejim hegemonik melakukan sedaya upaya untuk mengekalkan kekuasaan mereka ke atas kita agar status quo dapat dikekalkan.
Hegemoni dirujuk sebagai satu kaedah kawalan sosial melibatkan keupayaan kelas sosial yang dominan (elit yang berkuasa) untuk memberikan kepimpinan dan arahan kepada kelas sosial yang lain (masyarakat umum) bagi mendapat kepatuhan sama ada secara rela atau secara paksaan melalui penggunaan kuasa yang ada pada mereka untuk mengekalkan status quo (Gramsci 1971).
Kaedah pertama melibatkan keupayaan menguasai minda masyarakat secara suka rela. Kaedah ini dilakukan oleh pelbagai agen sosialisai seperti media massa, parti politik, ibu bapa, sekolah, guru, rakan sebaya dan sebagainya bagi menanam norma dan budaya masyarakat. Jelas sekali proses penguasaan minda oleh kelas dominan ini amat berjaya sehingga membolehkan mereka berada di kedudukan yang hegemonik semenjak merdeka sehingga sekarang. Pemikiran dan tindakan masyarakat umum berjaya dipengaruhi dan dikawal sebagaimana dikehendaki.
Kaedah kedua ialah tindakan mengawal (menjajah) masyarakat dengan kekerasan dan paksaan. Ini melibatkan penggunaan beberapa institusi yang berkuasa di dalam negara seperti institusi perundangan dan keselamatan, termasuk akta-akta tertentu. Kaedah ini tidak meletakkan undang-undang sebagai sesuatu yang berdaulat, sebaliknya memperalatkan undang-undang tertentu bagi kepentingan rejim (rule by law bukan rule of law).
Kedua-dua kaedah hadir serentak dan saling melengkapi. (Muhamad Nadzri Mohamed Noor 2009).
Sekiranya penguasaan golongan dominan bagi mengekalkan status quo ini tidak dihapuskan, selagi itulah masyarakat umum, yakni rakyat terbanyak tetap tidak bebas – fizikal dan minda dipengaruhi dan dikuasai sama ada secara sedar atau tidak sedar.
Apakah erti kemerdekaan bagi kita rakyat Malaysia?
Perutusan Hari Kemerdekaan Ke-54 daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak.
No comments:
Post a Comment